Menurut laman sesawang NSW Institute of Teachers (2005), definisi bagi
Standard Pengajaran Profesional ialah satu rujukan utama bagi bidang tugas
seorang guru di mana ia menerangkan tentang apa yang guru boleh lakukan serta
menyediakan hala tuju dan struktur untuk menyokong penyediaan dan pembangunan
guru. Di Malaysia, Standard Guru Malaysia (SGM) dijadikan sebagai panduan oleh
para guru, agensi dan institusi latihan perguruan, pensyarah serta guru besar
dan pengetua sekolah. SGM meliputi standard dan
keperluan di mana kedua-dua aspek ini dilaksana berasaskan Misi
Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila
Profesion Keguruan dan Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia bagi
melahirkan guru unggul yang dapat membentuk modal insan kelas pertama. SGM
bertujuan menggariskan kompetensi professional yang patut dicapai oleh guru dan
keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan
bagi mencapai tahap yang ditetapkan. Ia juga bertujuan untuk melestarikan guru
berkualiti.
Walaupun
dengan kewujudan SGM, masih terdapat isu-isu berkaitan Standard Pengajaran
Profesional ini yang meniti di dada-dada akhbar malah dalam kalangan pendidik
sendiri. Ternyata mengaplikasi SGM sahaja tidak cukup untuk menghasilkan guru
yang berkualiti kerana pada diri pendidik itu sendiri masih terdapat perkara
yang menghalang mereka untuk mencapai tahap profesional. Beberapa isu berkaitan
dengan Standard Pengajaran Profesional yang akan dikupas ialah isu disiplin
guru, guru tidak bersedia dengan perubahan sistem, guru mengajar subjek yang
bukan opsyen, guru sebagai kerjaya terakhir, guru masih menggunakan kaedah
tradisional dan lambakan pusat tuisyen gugat peranan guru.
No comments:
Post a Comment