Sunday 29 April 2012

ISU LAMBAKAN PUSAT TUISYEN GUGAT PERANAN GURU


Kini pusat tuisyen tumbuh bak cendawan selepas hujan. Kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen kerana memikirkan prestasi anak mereka yang semakin merosot. Tambahan pula pusat tuisyen ini ‘hidup’ disebabkan sistem pendidikan Malaysia yang masih berorientasikan peperiksaan. Jika di zaman 90-an, ibu bapa hanya menghantar anak-anak mereka yang mengambil peperiksaan penting sahaja seperti UPSR, PMR, SPM dan sebagainya. Berbeza dengan zaman sekarang yang mana kelas tuisyen sentiasa penuh dengan pelajar dari pelbagai umur. Selain itu, pusat tuisyen seolah-olah menjadi trend dan ada juga yang ingin mengaut keuntungan semata-mata. Lebih membimbangkan lagi apabila tenaga pengajar bukannya terdiri dari kalangan guru atau pendidik.

Kesan 
Jika kita fikir-fikirkan semula, ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen kerana prestasi merosot. Tambahan pula, kebanyakan ibu bapa sekarang mempunyai kerjaya jadi mereka kadang-kadang tidak mempunyai masa untuk memeriksa serta memantau kerja sekolah anak-anak. Jadi sebagai solusi, mereka menghantar ke pusat tuisyen dengan harapan anak mereka lebih bersedia ke dewan peperiksaan. Ramai berpendapat mereka menghantar anak-anak ke pusat tuisyen disebabkan pengajaran guru di sekolah kurang mencukupi. Dalam jangka masa yang panjang, peranan guru di sekolah dianggap kurang penting. Jika dahulu, pusat tuisyen berfungsi sebagai sumber tambahan dan kelas persediaan sebelum ke kelas, kini pusat tuisyen berperanan sebagai sekolah. Peranan guru terus dipandang sepi jika tenaga pengajar di pusat tuisyen bukan seorang guru.

Langkah Mengatasi
Para guru terutamanya perlu memastikan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran berkesan. Mungkin guru boleh membuat senarai semak semula samada objektif pembelajaran untuk sesuatu topik tercapai atau tidak. Selain itu, guru perlu bijak membahagikan waktu pengajaran agar pelajar mencapai objektif dan silibus pelajaran dapat dihabiskan. Setiap sekolah semestinya mengadakan kelas tambahan terutamanya untuk pelajar yang mengambil peperiksaan penting. Pihak sekolah perlu memastikan pelajar hadir ke kelas tambahan jadi tidak perlu ke pusat tuisyen lagi. Tambahan pula, pusat tuisyen dan sekolah menggunakan silibus yang sama cuma menggunakan pendekatan yang berbeza. 

No comments:

Post a Comment