Sunday 29 April 2012

the presentation

the write-up




View more documents from Sofia Amir.

KESIMPULAN


Kementerian Pendidikan Malaysia telah melakukan pelbagai perkara untuk memartabatkan profession perguruan. Antaranya memberi pengiktirafan kepada Institut Perguruan Sultan Idris dan menaikkan tarafnya kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1 Mei 1997. Profession perguruan adalah merupakan profesion yang sangat mulia kerana merekalah yang membawa kunci kepada keberhasilan sistem pendidikan negara kita. Jasa dan sumbangan yang diberikan pendidik untuk melahirkan masyarakat yang berilmu tidak harus dipandang enteng oleh masyarakat. Usaha Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan profession ini perlu dipandang tinggi. Tanpa guru, siapalah kita hari ini. 

ISU LAMBAKAN PUSAT TUISYEN GUGAT PERANAN GURU


Kini pusat tuisyen tumbuh bak cendawan selepas hujan. Kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen kerana memikirkan prestasi anak mereka yang semakin merosot. Tambahan pula pusat tuisyen ini ‘hidup’ disebabkan sistem pendidikan Malaysia yang masih berorientasikan peperiksaan. Jika di zaman 90-an, ibu bapa hanya menghantar anak-anak mereka yang mengambil peperiksaan penting sahaja seperti UPSR, PMR, SPM dan sebagainya. Berbeza dengan zaman sekarang yang mana kelas tuisyen sentiasa penuh dengan pelajar dari pelbagai umur. Selain itu, pusat tuisyen seolah-olah menjadi trend dan ada juga yang ingin mengaut keuntungan semata-mata. Lebih membimbangkan lagi apabila tenaga pengajar bukannya terdiri dari kalangan guru atau pendidik.

Kesan 
Jika kita fikir-fikirkan semula, ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen kerana prestasi merosot. Tambahan pula, kebanyakan ibu bapa sekarang mempunyai kerjaya jadi mereka kadang-kadang tidak mempunyai masa untuk memeriksa serta memantau kerja sekolah anak-anak. Jadi sebagai solusi, mereka menghantar ke pusat tuisyen dengan harapan anak mereka lebih bersedia ke dewan peperiksaan. Ramai berpendapat mereka menghantar anak-anak ke pusat tuisyen disebabkan pengajaran guru di sekolah kurang mencukupi. Dalam jangka masa yang panjang, peranan guru di sekolah dianggap kurang penting. Jika dahulu, pusat tuisyen berfungsi sebagai sumber tambahan dan kelas persediaan sebelum ke kelas, kini pusat tuisyen berperanan sebagai sekolah. Peranan guru terus dipandang sepi jika tenaga pengajar di pusat tuisyen bukan seorang guru.

Langkah Mengatasi
Para guru terutamanya perlu memastikan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran berkesan. Mungkin guru boleh membuat senarai semak semula samada objektif pembelajaran untuk sesuatu topik tercapai atau tidak. Selain itu, guru perlu bijak membahagikan waktu pengajaran agar pelajar mencapai objektif dan silibus pelajaran dapat dihabiskan. Setiap sekolah semestinya mengadakan kelas tambahan terutamanya untuk pelajar yang mengambil peperiksaan penting. Pihak sekolah perlu memastikan pelajar hadir ke kelas tambahan jadi tidak perlu ke pusat tuisyen lagi. Tambahan pula, pusat tuisyen dan sekolah menggunakan silibus yang sama cuma menggunakan pendekatan yang berbeza. 

ISU GURU MASIH MENGGUNAKAN KAEDAH TRADISIONAL


Setelah KBSM berusia lebih dari 10 tahun, didapati amalan guru dalam melaksanakan kurikulum  tersebut, pada keseluruhannya adalah masih berpusatkan kepada guru dan terikat dengan kaedah tradisional (Abdul Razak & rakan-rakan 1996). Masalah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dihadapi oleh pelajar di Malaysia tetapi ia juga adalah masalah sejagat. Walaupun pelbagai kaedah telah didedahkan namun terdapat sebilangan guru yang masih menggunakan kaedah tradisional seperti pengajaran yang berpusatkan guru dan bukannya berpusatkan pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berpusatkan guru dan bergantung seratus peratus kepada buku teks adalah antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan pelajar cepat merasa bosan dan hilang minat. Sememangnya para guru dinasihatkan menggunakan buku teks tetapi guru juga seharusnya menambah isi pengajaran mereka dari sumber-sumber lain seperti internet, buku rujukan dan persekitaran.
Tambahan pula, ada juga buku teks yang tidak mempunyai ilustrasi menarik sekaligus membuatkan pelajar bosan. Kaedah ‘chalk and talk’ adalah kaedah yang sangat popular di kalangan guru. Kaedah ini bukannya tidak bagus tetapi cikgu sepatutnya pandai mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka agar tidak bosan. Para guru juga lebih menekankan pembelajaran yang boleh meningkatkan prestasi sekolah daripada menumpukan pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu kaedah chalk and talk digunakan kerana ia lebih menjimat masa dan peralatan bahan mengajar tidak diperlukan. Terdapat guru yang masih menggunakan pendekatan latih tubi tanpa memberi penerangan konsep yang mencukupi. Misalnya pengajaran dan pembelajaran sains banyak melibatkan kemahiran proses sains dan manipulatif yang memerlukan daya pemikiran dan kreativiti yang tinggi. (Mohamad Khatim, 2001). Pembelajaran memerlukan kefahaman konsep yang lebih tinggi. Tanpa kefahaman, pelajar hanya menghafal. Amalan menghafal ini masih mengikut dasar kurikulum lama (KLSM) yang menekan kaedah ini. Tanpa sedar, para guru menekankan teknik hafalan tanpa penerangan konsep yang betul dan tepat. Teknik ini bukan sahaja menghasilkan pelajar yang kuat menghafal tetapi membantutkan semangat inkuiri mereka. Aspek lain seperti pemahaman, amalan dan penghayatan kurang diberi perhatian sewajarnya.

Kesan
Penggunaan cara tradisional secara seratus peratus di dalam kelas membuatkan pelajar hilang tumpuan seterusnya membuatkan mereka bosan. Mungkin untuk lima belas minit pertama, mereka boleh fokus. Bagi pelajar yang menggunakan imaginasi mereka untuk memahami sesuatu konsep, penggunaan buku teks secara sepenuhnya membantutkan semangat inkuiri mereka.
Pendekatan hafalan pula yang mana melibatkan pelbagai petua dan cara ringkas telah menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak bermakna (Ibrahim, 1994). Pelajar lebih banyak menghafal rumus yang sedia ada ataupun petua yang dicipta guru tanpa mengetahui konsep sebenar. Tanpa kita sedari, situasi sebegini akan membuatkan pelajar hanya menghafal kandungan pelajaran sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Jadi, gagal sudah peranan guru untuk menjadikan proses pengajaran  dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar malah situasi ini telah menghasilkan pelajar yang exam-oriented. Disebabkan semangat inkuiri pelajar tidak dicungkil dengan lebih mendalam, mereka tidak dapat berfikir secara kritis dan kreatif. Mereka hanya menerima apa sahaja yang diperkatakan guru tanpa ada keraguan.

Langkah Mengatasi
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa kaedah pengajaran guru mempengaruhi pemahaman konsep dan keseronokan untuk belajar. Jadi, untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, guru mestilah mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Mereka perlu meningkatkan ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan semasa. Untuk mengelakkan pelajar berasa bosan di dalam kelas, guru perlu mengaplikasikan pembelajaran secara kontekstual. Pembelajaran secara kontekstual ini adalah kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan, pengetahuan sedia ada dan persekitaran. Dengan menggabungkan elemen-elemen tersebut, pelajar tidak akan bosan dan sekaligus guru telah menggalakkan pelajar berfikir dan dapat meningkatkan semangat inkuiri mereka. Brunner (1960), telah menekankan bahawa pembelajaran merupakan satu proses dimana pelajar membina idea baru atau konsep berasaskan kepada pengetahuan semasa mereka. Brooks & Brooks (1993) menyatakan bahawa pelajar membina makna tentang dunia dan mensintesiskan pengalaman baru kepada apa yang mereka fahami sebelum ini. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi tentang interaksi mereka dengan objek dan idea. Sehubungan itu wajarlah pengajaran amali berasas inkuiri penemuan diketengahkan bagi meningkatkan pemahaman pelajar.
Seiring dengan zaman moden ini, proses pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar sangat bersifat praktikal. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di dalam kelas untuk mengelakkan pelajar hanya menghafal sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Oleh itu, kita mampu melahirkan pelajar yang mampu menyelesaikan masalah harian yang melibatkan konsep atau kemahiran berkaitan mana-mana subjek. 

ISU GURU SEBAGAI KERJAYA TERAKHIR


Bagi sesetengah individu, profession keguruan sering dianggap sebagai kerjaya pilihan terakhir. Profession perguruan juga dianggap sebagai profession pertengahan di bawah profession professional yang lain seperti doktor, jurutera, peguam dan lain-lain. Masyarakat juga menganggap individu itu boleh menjadi guru sandaran atau guru sementara tanpa ada latihan asas. Kekosongan jawatan guru sama ada di sekolah rendah mahupun menengah biasanya diisi oleh guru sandaran yang tidak mendapat latihan formal sama ada di maktab perguruan ataupun universiti. Situasi ini akan membuatkan pandangan masyarakatterhadap profession ini akan menjadi lebih pudar lagi apabila sesetengah pihak yang menganggap individu masih boleh menjadi guru tanpa mengikuti latihan perguruan di tempat-tempat yang sepatutnya.
Selain itu, masyarakat melihat kerjaya sebagai guru adalah satu kerjaya yang mudah. Bagi mereka, seorang guru mempunyai cuti yang banyak sebagaimana pelajar sekolah dan masa kerja yang pendek. Walhal, beban kerja guru terlalu banyak sehingga membawa ke bilik tidur. Di era globalisasi ini, cabaran menjadi guru tidak seperti yang dilihat dengan mata kasar. Cabaran dalam Wawasan 2020 adalah yang perlu ditangani oleh para pendidik untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berilmu pengetahuan dan berdaya saing. Tetapi persoalannya disini, mengapakah pandangan masyarakat terhadap guru dan professionnya telah berubah?

Kesan
Sekiranya profession ini adalah pilihan terakhir bagi guru, minat utama terhadap kerjaya ini sebenarnya hanya sedikit sahaja. Akibatnya, selepas dua atau tiga tahun menjadi guru, kebosanan terhadap tugas akan berlaku. Kajian yang dilakukan oleh Wan Mohd Zahid Nordin terhadap beberapa guru, ‘burn-out’ terhadap guru jelas menunjukkan faktor bahawa guru yang seringkali menghadapi masalah ini adalah guru yang kurang berminat sejak dari awal lagi dalam bidang yang diceburi. Apabila guru-guru mengalami situasi ‘burn-out’, sudah pastinya mereka akan masuk kelas dan mengajar semata-mata untuk menghabiskan silibus pengajaran. Ini akan menyebabkan pelajar kurang bermotivasi semasa belajar dan mereka akan hilang fokus. Seterusnya akan menyebabkan prestasi akademik mereka menurun. Dalam jangka masa yang panjang, bukan sahaja pelajar, prestasi sekolah turut merosot. Disebabkan prestasi pelajar merosot, ibu bapa yang berkemampuan dari aspek kewangan menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen.

Langkah mengatasi
Untuk mengelakkan isu kerjaya guru sebagai pilihan terakhir, individu sepatutnya tahu arah tuju kerjaya mereka. Selain itu, mereka juga harus tahu spesifikasi dan bidang tugas yang mereka minati supaya tidak menyesal di kemudian hari. Sebagai contoh, majoriti wanita yang menjadi jurutera akan memilih kerjaya sebagai guru. Selepas beberapa tahun bertugas sebagai jurutera, mereka baru menyedari bahawa tugas sebagai jurutera tidak sesuai dengan diri mereka dan akhirnya memilih kerjaya sebagai guru.
Sebagai individu yang terpelajar, guru yang memilih kerjaya ini sebagai pilihan terakhir mereka patut ada rasa bertanggungjawab. Guru ini dianggap insan terpilih yang didatangkan untuk membawa ilmu dan kemajuan di sesuatu tempat. Mereka perlu sedar guru bertanggungjawab mencorakkan masa depan pelajar. Persepsi masyarakat juga perlu diubah. Mereka membayangkan guru hanya perlu duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu kepada pelajar disamping membuat sedikit kerja-kerja perkeranian seperti menaip dan mengisi borang. Realitinya, beban kerja guru-guru sangat banyak hingga dibawa ke rumah. Di sekolah pula, guru bukan setakat mengajar tetapi mendidik. Selain itu, para guru juga terpaksa menghadiri mesyuarat bersama pengurusan. 

ISU GURU MENGAJAR SUBJEK YANG BUKAN OPSYEN


Isu guru mengajar subjek bukan opsyen ini adalah lumrah terutama bagi guru-guru baru. Biarlah apa pun opsyen yang mereka ambil di universiti atau institusi latihan perguruan, tidak semestinya mereka akan mengajar subjek opsyen mereka itu di sekolah. Ini adalah suatu realiti yang berpunca daripada ketidaksepadanan dalam pengagihan guru di sekolah. Ia juga berpunca daripada keperluan sekolah itu sendiri yang mahukan guru mengikut kekosongan subjek yang ada. Justeru, disebabkan oleh kurangnya konten mengenai subjek bukan opsyen yang hendak diajar, guru-guru cenderung untuk menjadi kurang yakin ketika mengajar. Segala konten mengenai subjek opsyen langsung tidak digunakan malah guru perlu mempelajari ilmu baru bagi mereka sekiranya diarahkan mengajar subjek yang betul-betul bertentangan dan tidak berkaitan dengan subjek opsyen masing-masing.

Kesan
Antara kesan awal yang boleh berlaku akibat daripada kurangnya keyakinan guru mengajar subjek bukan opsyen ialah guru itu sendiri kurang bersemangat untuk mengajar. Justeru, pelajar pula menjadi kurang motivasi kerana mereka tahu guru tersebut tidak mempunyai konten yang cukup untuk mengajar mereka. Guru pula bersikap acuh tidak acuh dalam melaksanakan proses P&P. Impak yang paling ketara ialah penurunan prestasi pelajar. Dalam hal ini, guru akan dipersalahkan kerana gagal mengajar subjek tersebut dengan baik. Guru pula lepas tangan kerana menganggap subjek tersebut bukanlah opsyen dan dia tidak mempunyai kepakaran dalam mengajar subjek tersebut. Ini menyebabkan guru tersebut tidak dapat mencapai tahap profesionalisme. Malah, kerjaya guru itu pula yang dianggap mudah oleh masyarakat dek kerana guru hanya masuk kelas dan mengajar tanpa mengambil tahu sama ada pelajar memahami pembelajaran mereka atau tidak.

Langkah Mengatasi
Terdapat beberapa langkah mengatasi yang boleh diambil bagi mengekang isu ini daripada berterusan dan memberi impak negatif kepada pelajar khususnya. Antaranya ialah guru perlu menghadiri kursus. Antara kursus yang diadakan ialah kursus profisiensi. Kursus ini perlu bagi guru yang mengajar subjek bahasa Inggeris yang bukan menjadi opsyennya. Selain itu, guru juga perlu mempunyai keyakinan yang tinggi. Walaupun mengajar subjek yang bukan opsyen, guru boleh mencari inisiatif sendiri untuk mempelajari dan mendalami subjek yang hendak diajar itu. Pada zaman era globalisasi ini, ilmu sangat mudah untuk didapati. Semuanya ada di hujung jari sahaja. Sebagaimana artis di kaca televisyen boleh menjadi versatil, kenapa tidak guru? Guru boleh mengajar apa-apa subjek sekiranya guru tersebut mempunyai tekad dan keyakinan yang tinggi untuk mempelajari dan mengajar. Dan sudah semestinya guru seperti ini mampu mencapai tahap profesional dalam masa yang singkat. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Di samping itu, guru juga perlu sentiasa berfikiran positif. Guru perlu menganggap bahawa mengajar subjek bukan opsyen ini merupakan cabaran yang perlu ditempuhi dengan sabar dan tabah. Bahkan, ilmu guru tersebut juga boleh diperkembangkan kepada beberapa bidang baru yang mungkin asing bagi mereka sebelum ini. 

ISU GURU TIDAK BERSEDIA DENGAN PERUBAHAN SISTEM


Seperti yang kita sedia maklum, sistem pendidikan di Malaysia agak kerap mengalami perubahan dek kerana mengikut perkembangan zaman dan keperluan semasa. Perubahan ini  memberi banyak impak positif terhadap rakyat keseluruhannya. Mungkin ada beberapa dasar atau sistem yang perubahannya sedikit sebanyak memberi kesan negatif kerana tidak dirancang dengan baik dan para guru khasnya tidak cukup bersedia dengan perubahan ini. Contohnya perlaksanaan PPSMI atau Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Sistem pendidikan yang berubah-ubah ini memerlukan kesediaan guru yang cukup bagi mempersiapkan diri untuk mengaplikasikan sistem baru tersebut. Antara sistem yang telah terlaksana ialah PPSMI yang sebelum ini gagal dilaksanakan dengan baik kerana guru-guru bagi mata pelajaran Sains dan Matematik belum bersedia untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran mereka. Para pelajar juga tidak bersedia kerana bahasa Inggeris mereka yang sememangnya menjadi subjek yang lemah, terutamanya bagi pelajar di luar bandar. Jika perlaksanaan sistem tidak berjaya kerana guru tidak bersedia, maka guru sukar untuk mencapai tahap profesionalisme seperti yang diinginkan.

Kesan
Kesan daripada ketidaksediaan guru bagi mengaplikasi sistem baru, ini menyebabkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) menjadi kurang berkesan. Apa tidaknya, guru-guru pun kadang kala kurang memahami apa yang mereka ajar. Apabila ditanya oleh pelajar, mulalah guru berasa panik dan membiarkan soalan-soalan pelajar tidak terjawab. Sekiranya P&P kurang berkesan, maka akan adalah pelajar yang kurang faham pengajaran guru tersebut. Pelajar yang kurang memahami pengajaran guru akan cepat merasa bosan dan kadang kala ini membawa kepada masalah disiplin pelajar itu sendiri iaitu ponteng.
             Apabila pelajar kurang faham dan tiada inisiatif untuk memahami pembelajaran mereka tanpa bantuan guru sekolah, sudah semestinya mereka tidak mampu untuk menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Maka prestasi mereka menurun. Begitulah yang terjadi kepada para pelajar yang terlibat dalam bahan uji kaji PPSMI. Justeru, guru tidak akan mampu mencapai tahap profesional. Sudah terbukti apabila guru tidak cukup bersedia, maka impaknya bukan sekadar pada guru malah turut terkena kepada pelajar.

Langkah Mengatasi
Antara langkah bagi mengatasi isu kesediaan guru ini ialah guru perlu sentiasa bersedia. Sebagai seorang guru, mereka haruslah sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Jangan biarkan perubahan sistem meragut kredibiliti mereka sebagai guru. Ilmu-ilmu baru boleh dipelajari setiap hari kerana dunia sekarang merupakan dunia tanpa sempadan. Semuanya hanya di hujung jari sahaja. Ia cuma memerlukan keinginan dan kerajinan guru itu sendiri untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi perkara-perkara baru.
Di samping itu, guru juga perlu berani. Jangan apabila diberitahu tentang perubahan sistem pendidikan yang baru, terus berasa tidak berani dan kurang yakin untuk melaksanakannya.  Sebagai seorang pendidik, keyakinan haruslah jitu walau dalam apa jua situasi. Keberanian perlu ada pada diri guru kerana ia mampu membawa guru itu lebih jauh atau dalam erti kata lain, menjadikan guru itu profesional dalam profesionnya. Selain itu, sikap optimis perlu ditanam dalam diri para guru. Sekiranya diberitahu tentang perubahan sistem, ambil itu sebagai suatu cabaran bukan masalah. Jika guru mampu berfikiran positif dalam menjalani karier sebagai pendidik, sudah pasti guru tersebut berupaya menjadi seorang pendidik yang profesional.  

ISU DISIPLIN GURU


Apabila dibangkitkan tentang isu disiplin guru, mungkin ada yang merasakan bahawa ini bukanlah suatu isu yang besar kerana ianya sudah menjadi perkara biasa bagi sesetengah guru yang merasakan disiplin bukan penghalang mereka mencapai tahap profesional. Namun apabila difikirkan semula, disiplin inilah yang menjadi titik tolak perjalanan seorang guru itu sendiri. Biasanya isu yang sering didengar adalah isu disiplin pelajar, tetapi apabila dibangkitkan isu mengenai disiplin guru, para guru nampaknya cuba menidakkan isu ini. Semuanya berbalik kepada diri guru itu sendiri.
                Masalah disiplin dalam kalangan guru yang biasa berlaku di sekolah ialah guru masuk lewat ke dalam kelas. Perkara ini tidak boleh dianggap enteng kerana ianya boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Bagaimana mungkin guru boleh mengatasi masalah disiplin sekiranya mereka sendiri tidak mampu menjaga disiplin sendiri? Itu adalah satu persoalan yang perlu difikirkan secara mendalam. Selain itu, sesetengah guru yang tidak menjaga etika dan tidak mampu mengawal emosi cenderung menjadi contoh yang tidak baik kepada para pelajar. Pernampilan guru itu sendiri sudah memberi impresi pertama kepada orang yang melihatnya. Guru juga perlu ada kawalan emosi yang baik supaya tidak melepaskan kemarahan terhadap pelajar sesuka hati.

Kesan
Setiap isu semestinya ada kesan atau akibatnya. Kesan isu disiplin guru ini boleh dilihat dalam bentuk flow. Yang pertamanya ialah pelajar terikut-ikut dengan sikap guru. Seperti mana ibu bapa, guru merupakan role model kepada pelajar kerana guru ialah individu yang dekat dengan mereka selepas ibu bapa. Sekiranya guru menpunyai masalah disiplin, pelajar sudah semestinya akan mempunyai masalah yang sama. Ini disebabkan mereka merupakan remaja yang belajar melalui imitation iaitu gaya peniruan. Apa yang mereka lihat, itulah yang mereka ikuti.
Kemudian, pelajar akan mula hilang rasa hormat terhadap guru. Bagaimana mereka hendak hormat kepada guru sekiranya guru itu sendiri bermasalah? Maka, mulalah guru-guru mengatakan bahawa pelajar bersikap kurang ajar justeru ibu bapa pula dipersalahkan bulat-bulat dalam hal ini.  Padahal, guru itulah sendiri menjadi salah satu punca kepada masalah disiplin pelajar. Cuba fikirkan semula wahai para guru. Gurubagai cermin, apa yang ada pada diri pelajar itu menunjukkan siapa diri gurunya. Jika guru mahu pelajar mereka menjadi baik, maka perbaikilah diri sendiri terlebih dahulu. Seterusnya, guru tidak akan mencapai tahap profesional sekiranya disiplin tidak dijaga. Masyarakat pula beranggapan bahawa kerjaya guru ini tidak profesional dek kerana sikap guru yang bermasalah disiplin.

Langkah Mengatasi
Antara langkah mengatasi isu disiplin guru ini ialah pengambilan guru perlu kaedah tapisan lebih baik, guru sendiri perlu ada inisiatif untuk memperbaiki diri dan guru perlu jadi contoh yang baik kepada pelajar. Maksud pengambilan guru perlu kaedah tapisan lebih baik di sini adalah  selain ujian MedSi dan sesi temuduga, mungkin kaedah baru perlu ada bagi memastikan bahawa guru yang bakal dilahirkan oleh institusi latihan perguruan di Malaysia ini adalah  terdiri daripada kalangan guru yang mempunyai disiplin yang baik.
Di samping itu, guru yang sememangnya mempunyai masalah disiplin diri pula perlu berusaha untuk berubah ke arah yang lebih baik. Dalam hal ini, pengetua perlu memainkan peranan untuk menasihati guru-guru ini supaya memperbaiki diri masing-masing. Langkah  terakhir ialah guru perlu menjadi role model yang baik kepada pelajar. Bak kata pepatah, ‘guru kencing berdiri, murid kencing berlari’. Jika guru tidak mampu menjadi contoh teladan yang baik, mampukah guru tersebut membentuk generasi hadapan yang baik? Jawapan bagi persoalan  ini terletak pada guru itu sendiri.  

Tuesday 17 April 2012

STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL




Menurut laman sesawang NSW Institute of Teachers (2005), definisi bagi Standard Pengajaran Profesional ialah satu rujukan utama bagi bidang tugas seorang guru di mana ia menerangkan tentang apa yang guru boleh lakukan serta menyediakan hala tuju dan struktur untuk menyokong penyediaan dan pembangunan guru. Di Malaysia, Standard Guru Malaysia (SGM) dijadikan sebagai panduan oleh para guru, agensi dan institusi latihan perguruan, pensyarah serta guru besar dan pengetua sekolah. SGM meliputi standard dan  keperluan di mana kedua-dua aspek ini dilaksana berasaskan Misi Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila Profesion Keguruan dan Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia bagi melahirkan guru unggul yang dapat membentuk modal insan kelas pertama. SGM bertujuan menggariskan kompetensi professional yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi mencapai tahap yang ditetapkan. Ia juga bertujuan untuk melestarikan guru berkualiti. 

                Walaupun dengan kewujudan SGM, masih terdapat isu-isu berkaitan Standard Pengajaran Profesional ini yang meniti di dada-dada akhbar malah dalam kalangan pendidik sendiri. Ternyata mengaplikasi SGM sahaja tidak cukup untuk menghasilkan guru yang berkualiti kerana pada diri pendidik itu sendiri masih terdapat perkara yang menghalang mereka untuk mencapai tahap profesional. Beberapa isu berkaitan dengan Standard Pengajaran Profesional yang akan dikupas ialah isu disiplin guru, guru tidak bersedia dengan perubahan sistem, guru mengajar subjek yang bukan opsyen, guru sebagai kerjaya terakhir, guru masih menggunakan kaedah tradisional dan lambakan pusat tuisyen gugat peranan guru.