Sunday 29 April 2012

ISU GURU MENGAJAR SUBJEK YANG BUKAN OPSYEN


Isu guru mengajar subjek bukan opsyen ini adalah lumrah terutama bagi guru-guru baru. Biarlah apa pun opsyen yang mereka ambil di universiti atau institusi latihan perguruan, tidak semestinya mereka akan mengajar subjek opsyen mereka itu di sekolah. Ini adalah suatu realiti yang berpunca daripada ketidaksepadanan dalam pengagihan guru di sekolah. Ia juga berpunca daripada keperluan sekolah itu sendiri yang mahukan guru mengikut kekosongan subjek yang ada. Justeru, disebabkan oleh kurangnya konten mengenai subjek bukan opsyen yang hendak diajar, guru-guru cenderung untuk menjadi kurang yakin ketika mengajar. Segala konten mengenai subjek opsyen langsung tidak digunakan malah guru perlu mempelajari ilmu baru bagi mereka sekiranya diarahkan mengajar subjek yang betul-betul bertentangan dan tidak berkaitan dengan subjek opsyen masing-masing.

Kesan
Antara kesan awal yang boleh berlaku akibat daripada kurangnya keyakinan guru mengajar subjek bukan opsyen ialah guru itu sendiri kurang bersemangat untuk mengajar. Justeru, pelajar pula menjadi kurang motivasi kerana mereka tahu guru tersebut tidak mempunyai konten yang cukup untuk mengajar mereka. Guru pula bersikap acuh tidak acuh dalam melaksanakan proses P&P. Impak yang paling ketara ialah penurunan prestasi pelajar. Dalam hal ini, guru akan dipersalahkan kerana gagal mengajar subjek tersebut dengan baik. Guru pula lepas tangan kerana menganggap subjek tersebut bukanlah opsyen dan dia tidak mempunyai kepakaran dalam mengajar subjek tersebut. Ini menyebabkan guru tersebut tidak dapat mencapai tahap profesionalisme. Malah, kerjaya guru itu pula yang dianggap mudah oleh masyarakat dek kerana guru hanya masuk kelas dan mengajar tanpa mengambil tahu sama ada pelajar memahami pembelajaran mereka atau tidak.

Langkah Mengatasi
Terdapat beberapa langkah mengatasi yang boleh diambil bagi mengekang isu ini daripada berterusan dan memberi impak negatif kepada pelajar khususnya. Antaranya ialah guru perlu menghadiri kursus. Antara kursus yang diadakan ialah kursus profisiensi. Kursus ini perlu bagi guru yang mengajar subjek bahasa Inggeris yang bukan menjadi opsyennya. Selain itu, guru juga perlu mempunyai keyakinan yang tinggi. Walaupun mengajar subjek yang bukan opsyen, guru boleh mencari inisiatif sendiri untuk mempelajari dan mendalami subjek yang hendak diajar itu. Pada zaman era globalisasi ini, ilmu sangat mudah untuk didapati. Semuanya ada di hujung jari sahaja. Sebagaimana artis di kaca televisyen boleh menjadi versatil, kenapa tidak guru? Guru boleh mengajar apa-apa subjek sekiranya guru tersebut mempunyai tekad dan keyakinan yang tinggi untuk mempelajari dan mengajar. Dan sudah semestinya guru seperti ini mampu mencapai tahap profesional dalam masa yang singkat. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Di samping itu, guru juga perlu sentiasa berfikiran positif. Guru perlu menganggap bahawa mengajar subjek bukan opsyen ini merupakan cabaran yang perlu ditempuhi dengan sabar dan tabah. Bahkan, ilmu guru tersebut juga boleh diperkembangkan kepada beberapa bidang baru yang mungkin asing bagi mereka sebelum ini. 

No comments:

Post a Comment