Sunday 29 April 2012

ISU GURU TIDAK BERSEDIA DENGAN PERUBAHAN SISTEM


Seperti yang kita sedia maklum, sistem pendidikan di Malaysia agak kerap mengalami perubahan dek kerana mengikut perkembangan zaman dan keperluan semasa. Perubahan ini  memberi banyak impak positif terhadap rakyat keseluruhannya. Mungkin ada beberapa dasar atau sistem yang perubahannya sedikit sebanyak memberi kesan negatif kerana tidak dirancang dengan baik dan para guru khasnya tidak cukup bersedia dengan perubahan ini. Contohnya perlaksanaan PPSMI atau Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Sistem pendidikan yang berubah-ubah ini memerlukan kesediaan guru yang cukup bagi mempersiapkan diri untuk mengaplikasikan sistem baru tersebut. Antara sistem yang telah terlaksana ialah PPSMI yang sebelum ini gagal dilaksanakan dengan baik kerana guru-guru bagi mata pelajaran Sains dan Matematik belum bersedia untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran mereka. Para pelajar juga tidak bersedia kerana bahasa Inggeris mereka yang sememangnya menjadi subjek yang lemah, terutamanya bagi pelajar di luar bandar. Jika perlaksanaan sistem tidak berjaya kerana guru tidak bersedia, maka guru sukar untuk mencapai tahap profesionalisme seperti yang diinginkan.

Kesan
Kesan daripada ketidaksediaan guru bagi mengaplikasi sistem baru, ini menyebabkan proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) menjadi kurang berkesan. Apa tidaknya, guru-guru pun kadang kala kurang memahami apa yang mereka ajar. Apabila ditanya oleh pelajar, mulalah guru berasa panik dan membiarkan soalan-soalan pelajar tidak terjawab. Sekiranya P&P kurang berkesan, maka akan adalah pelajar yang kurang faham pengajaran guru tersebut. Pelajar yang kurang memahami pengajaran guru akan cepat merasa bosan dan kadang kala ini membawa kepada masalah disiplin pelajar itu sendiri iaitu ponteng.
             Apabila pelajar kurang faham dan tiada inisiatif untuk memahami pembelajaran mereka tanpa bantuan guru sekolah, sudah semestinya mereka tidak mampu untuk menjawab soalan peperiksaan dengan baik. Maka prestasi mereka menurun. Begitulah yang terjadi kepada para pelajar yang terlibat dalam bahan uji kaji PPSMI. Justeru, guru tidak akan mampu mencapai tahap profesional. Sudah terbukti apabila guru tidak cukup bersedia, maka impaknya bukan sekadar pada guru malah turut terkena kepada pelajar.

Langkah Mengatasi
Antara langkah bagi mengatasi isu kesediaan guru ini ialah guru perlu sentiasa bersedia. Sebagai seorang guru, mereka haruslah sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Jangan biarkan perubahan sistem meragut kredibiliti mereka sebagai guru. Ilmu-ilmu baru boleh dipelajari setiap hari kerana dunia sekarang merupakan dunia tanpa sempadan. Semuanya hanya di hujung jari sahaja. Ia cuma memerlukan keinginan dan kerajinan guru itu sendiri untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi perkara-perkara baru.
Di samping itu, guru juga perlu berani. Jangan apabila diberitahu tentang perubahan sistem pendidikan yang baru, terus berasa tidak berani dan kurang yakin untuk melaksanakannya.  Sebagai seorang pendidik, keyakinan haruslah jitu walau dalam apa jua situasi. Keberanian perlu ada pada diri guru kerana ia mampu membawa guru itu lebih jauh atau dalam erti kata lain, menjadikan guru itu profesional dalam profesionnya. Selain itu, sikap optimis perlu ditanam dalam diri para guru. Sekiranya diberitahu tentang perubahan sistem, ambil itu sebagai suatu cabaran bukan masalah. Jika guru mampu berfikiran positif dalam menjalani karier sebagai pendidik, sudah pasti guru tersebut berupaya menjadi seorang pendidik yang profesional.  

No comments:

Post a Comment