Sunday 29 April 2012

ISU GURU MASIH MENGGUNAKAN KAEDAH TRADISIONAL


Setelah KBSM berusia lebih dari 10 tahun, didapati amalan guru dalam melaksanakan kurikulum  tersebut, pada keseluruhannya adalah masih berpusatkan kepada guru dan terikat dengan kaedah tradisional (Abdul Razak & rakan-rakan 1996). Masalah keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja dihadapi oleh pelajar di Malaysia tetapi ia juga adalah masalah sejagat. Walaupun pelbagai kaedah telah didedahkan namun terdapat sebilangan guru yang masih menggunakan kaedah tradisional seperti pengajaran yang berpusatkan guru dan bukannya berpusatkan pelajar. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih berpusatkan guru dan bergantung seratus peratus kepada buku teks adalah antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan pelajar cepat merasa bosan dan hilang minat. Sememangnya para guru dinasihatkan menggunakan buku teks tetapi guru juga seharusnya menambah isi pengajaran mereka dari sumber-sumber lain seperti internet, buku rujukan dan persekitaran.
Tambahan pula, ada juga buku teks yang tidak mempunyai ilustrasi menarik sekaligus membuatkan pelajar bosan. Kaedah ‘chalk and talk’ adalah kaedah yang sangat popular di kalangan guru. Kaedah ini bukannya tidak bagus tetapi cikgu sepatutnya pandai mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka agar tidak bosan. Para guru juga lebih menekankan pembelajaran yang boleh meningkatkan prestasi sekolah daripada menumpukan pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu kaedah chalk and talk digunakan kerana ia lebih menjimat masa dan peralatan bahan mengajar tidak diperlukan. Terdapat guru yang masih menggunakan pendekatan latih tubi tanpa memberi penerangan konsep yang mencukupi. Misalnya pengajaran dan pembelajaran sains banyak melibatkan kemahiran proses sains dan manipulatif yang memerlukan daya pemikiran dan kreativiti yang tinggi. (Mohamad Khatim, 2001). Pembelajaran memerlukan kefahaman konsep yang lebih tinggi. Tanpa kefahaman, pelajar hanya menghafal. Amalan menghafal ini masih mengikut dasar kurikulum lama (KLSM) yang menekan kaedah ini. Tanpa sedar, para guru menekankan teknik hafalan tanpa penerangan konsep yang betul dan tepat. Teknik ini bukan sahaja menghasilkan pelajar yang kuat menghafal tetapi membantutkan semangat inkuiri mereka. Aspek lain seperti pemahaman, amalan dan penghayatan kurang diberi perhatian sewajarnya.

Kesan
Penggunaan cara tradisional secara seratus peratus di dalam kelas membuatkan pelajar hilang tumpuan seterusnya membuatkan mereka bosan. Mungkin untuk lima belas minit pertama, mereka boleh fokus. Bagi pelajar yang menggunakan imaginasi mereka untuk memahami sesuatu konsep, penggunaan buku teks secara sepenuhnya membantutkan semangat inkuiri mereka.
Pendekatan hafalan pula yang mana melibatkan pelbagai petua dan cara ringkas telah menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak bermakna (Ibrahim, 1994). Pelajar lebih banyak menghafal rumus yang sedia ada ataupun petua yang dicipta guru tanpa mengetahui konsep sebenar. Tanpa kita sedari, situasi sebegini akan membuatkan pelajar hanya menghafal kandungan pelajaran sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Jadi, gagal sudah peranan guru untuk menjadikan proses pengajaran  dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar malah situasi ini telah menghasilkan pelajar yang exam-oriented. Disebabkan semangat inkuiri pelajar tidak dicungkil dengan lebih mendalam, mereka tidak dapat berfikir secara kritis dan kreatif. Mereka hanya menerima apa sahaja yang diperkatakan guru tanpa ada keraguan.

Langkah Mengatasi
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa kaedah pengajaran guru mempengaruhi pemahaman konsep dan keseronokan untuk belajar. Jadi, untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, guru mestilah mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Mereka perlu meningkatkan ilmu pengetahuan seiring dengan perkembangan semasa. Untuk mengelakkan pelajar berasa bosan di dalam kelas, guru perlu mengaplikasikan pembelajaran secara kontekstual. Pembelajaran secara kontekstual ini adalah kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan, pengetahuan sedia ada dan persekitaran. Dengan menggabungkan elemen-elemen tersebut, pelajar tidak akan bosan dan sekaligus guru telah menggalakkan pelajar berfikir dan dapat meningkatkan semangat inkuiri mereka. Brunner (1960), telah menekankan bahawa pembelajaran merupakan satu proses dimana pelajar membina idea baru atau konsep berasaskan kepada pengetahuan semasa mereka. Brooks & Brooks (1993) menyatakan bahawa pelajar membina makna tentang dunia dan mensintesiskan pengalaman baru kepada apa yang mereka fahami sebelum ini. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi tentang interaksi mereka dengan objek dan idea. Sehubungan itu wajarlah pengajaran amali berasas inkuiri penemuan diketengahkan bagi meningkatkan pemahaman pelajar.
Seiring dengan zaman moden ini, proses pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar sangat bersifat praktikal. Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di dalam kelas untuk mengelakkan pelajar hanya menghafal sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Oleh itu, kita mampu melahirkan pelajar yang mampu menyelesaikan masalah harian yang melibatkan konsep atau kemahiran berkaitan mana-mana subjek. 

No comments:

Post a Comment