Sunday, 29 April 2012
KESIMPULAN
Kementerian Pendidikan Malaysia
telah melakukan pelbagai perkara untuk memartabatkan profession perguruan.
Antaranya memberi pengiktirafan kepada Institut Perguruan Sultan Idris dan
menaikkan tarafnya kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 1 Mei 1997.
Profession perguruan adalah merupakan profesion yang sangat mulia kerana
merekalah yang membawa kunci kepada keberhasilan sistem pendidikan negara kita.
Jasa dan sumbangan yang diberikan pendidik untuk melahirkan masyarakat yang
berilmu tidak harus dipandang enteng oleh masyarakat. Usaha Kementerian
Pendidikan untuk memartabatkan profession ini perlu dipandang tinggi. Tanpa
guru, siapalah kita hari ini.
ISU LAMBAKAN PUSAT TUISYEN GUGAT PERANAN GURU
Kini pusat tuisyen tumbuh bak
cendawan selepas hujan. Kebanyakan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke
pusat tuisyen kerana memikirkan prestasi anak mereka yang semakin merosot.
Tambahan pula pusat tuisyen ini ‘hidup’ disebabkan sistem pendidikan Malaysia
yang masih berorientasikan peperiksaan. Jika di zaman 90-an, ibu bapa hanya
menghantar anak-anak mereka yang mengambil peperiksaan penting sahaja seperti
UPSR, PMR, SPM dan sebagainya. Berbeza dengan zaman sekarang yang mana kelas
tuisyen sentiasa penuh dengan pelajar dari pelbagai umur. Selain itu, pusat
tuisyen seolah-olah menjadi trend dan
ada juga yang ingin mengaut keuntungan semata-mata. Lebih membimbangkan lagi
apabila tenaga pengajar bukannya terdiri dari kalangan guru atau pendidik.
Kesan
Jika kita fikir-fikirkan semula,
ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen kerana prestasi merosot.
Tambahan pula, kebanyakan ibu bapa sekarang mempunyai kerjaya jadi mereka
kadang-kadang tidak mempunyai masa untuk memeriksa serta memantau kerja sekolah
anak-anak. Jadi sebagai solusi, mereka menghantar ke pusat tuisyen dengan
harapan anak mereka lebih bersedia ke dewan peperiksaan. Ramai berpendapat
mereka menghantar anak-anak ke pusat tuisyen disebabkan pengajaran guru di
sekolah kurang mencukupi. Dalam jangka masa yang panjang, peranan guru di
sekolah dianggap kurang penting. Jika dahulu, pusat tuisyen berfungsi sebagai
sumber tambahan dan kelas persediaan sebelum ke kelas, kini pusat tuisyen
berperanan sebagai sekolah. Peranan guru terus dipandang sepi jika tenaga
pengajar di pusat tuisyen bukan seorang guru.
Langkah Mengatasi
Para guru terutamanya perlu
memastikan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran berkesan. Mungkin guru
boleh membuat senarai semak semula samada objektif pembelajaran untuk sesuatu
topik tercapai atau tidak. Selain itu, guru perlu bijak membahagikan waktu
pengajaran agar pelajar mencapai objektif dan silibus pelajaran dapat
dihabiskan. Setiap sekolah semestinya mengadakan kelas tambahan terutamanya
untuk pelajar yang mengambil peperiksaan penting. Pihak sekolah perlu
memastikan pelajar hadir ke kelas tambahan jadi tidak perlu ke pusat tuisyen
lagi. Tambahan pula, pusat tuisyen dan sekolah menggunakan silibus yang sama
cuma menggunakan pendekatan yang berbeza.
ISU GURU MASIH MENGGUNAKAN KAEDAH TRADISIONAL
Setelah KBSM berusia lebih dari 10 tahun,
didapati amalan guru dalam melaksanakan kurikulum tersebut, pada keseluruhannya
adalah masih berpusatkan kepada guru dan terikat dengan kaedah tradisional
(Abdul Razak & rakan-rakan 1996). Masalah keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran bukan sahaja dihadapi oleh pelajar di Malaysia tetapi ia juga
adalah masalah sejagat. Walaupun pelbagai kaedah telah didedahkan namun
terdapat sebilangan guru yang masih menggunakan kaedah tradisional seperti
pengajaran yang berpusatkan guru dan bukannya berpusatkan pelajar. Kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang lebih berpusatkan guru dan bergantung seratus
peratus kepada buku teks adalah antara faktor yang dikenal pasti menyebabkan
pelajar cepat merasa bosan dan hilang minat. Sememangnya para guru dinasihatkan
menggunakan buku teks tetapi guru juga seharusnya menambah isi pengajaran
mereka dari sumber-sumber lain seperti internet, buku rujukan dan persekitaran.
Tambahan pula, ada juga buku
teks yang tidak mempunyai ilustrasi menarik sekaligus membuatkan pelajar bosan.
Kaedah ‘chalk and talk’ adalah kaedah
yang sangat popular di kalangan guru. Kaedah ini bukannya tidak bagus tetapi
cikgu sepatutnya pandai mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka agar tidak
bosan. Para guru juga lebih menekankan pembelajaran yang boleh meningkatkan
prestasi sekolah daripada menumpukan pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu
kaedah chalk and talk digunakan
kerana ia lebih menjimat masa dan peralatan bahan mengajar tidak diperlukan.
Terdapat guru yang masih menggunakan pendekatan latih tubi tanpa memberi
penerangan konsep yang mencukupi. Misalnya pengajaran dan pembelajaran sains
banyak melibatkan kemahiran proses sains dan manipulatif yang memerlukan daya
pemikiran dan kreativiti yang tinggi. (Mohamad Khatim, 2001). Pembelajaran
memerlukan kefahaman konsep yang lebih tinggi. Tanpa kefahaman, pelajar hanya
menghafal. Amalan menghafal ini masih mengikut dasar
kurikulum lama (KLSM) yang menekan kaedah ini. Tanpa sedar, para guru
menekankan teknik hafalan tanpa penerangan konsep yang betul dan tepat. Teknik
ini bukan sahaja menghasilkan pelajar yang kuat menghafal tetapi membantutkan
semangat inkuiri mereka. Aspek lain seperti pemahaman, amalan dan penghayatan
kurang diberi perhatian sewajarnya.
Kesan
Penggunaan cara tradisional secara seratus peratus di
dalam kelas membuatkan pelajar hilang tumpuan seterusnya membuatkan mereka
bosan. Mungkin untuk lima belas minit pertama, mereka boleh fokus. Bagi pelajar
yang menggunakan imaginasi mereka untuk memahami sesuatu konsep, penggunaan
buku teks secara sepenuhnya membantutkan semangat inkuiri mereka.
Pendekatan hafalan pula yang mana
melibatkan pelbagai petua dan cara ringkas telah menyebabkan proses pengajaran
dan pembelajaran menjadi tidak bermakna (Ibrahim, 1994). Pelajar lebih banyak
menghafal rumus yang sedia ada ataupun petua yang dicipta guru tanpa mengetahui
konsep sebenar. Tanpa kita sedari, situasi sebegini akan membuatkan pelajar
hanya menghafal kandungan pelajaran sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Jadi,
gagal sudah peranan guru untuk menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran yang berpusatkan pelajar
malah situasi ini telah menghasilkan pelajar yang exam-oriented. Disebabkan semangat inkuiri pelajar tidak dicungkil
dengan lebih mendalam, mereka tidak dapat berfikir secara kritis dan kreatif.
Mereka hanya menerima apa sahaja yang diperkatakan guru tanpa ada keraguan.
Langkah Mengatasi
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bahawa kaedah
pengajaran guru mempengaruhi pemahaman konsep dan keseronokan untuk belajar.
Jadi, untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, guru mestilah mempelbagaikan kaedah
pengajaran dan pembelajaran. Mereka perlu meningkatkan ilmu pengetahuan seiring
dengan perkembangan semasa. Untuk mengelakkan pelajar berasa bosan di dalam
kelas, guru perlu mengaplikasikan pembelajaran secara kontekstual. Pembelajaran
secara kontekstual ini adalah kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi
kandungan, pengetahuan sedia ada dan persekitaran. Dengan menggabungkan
elemen-elemen tersebut, pelajar tidak akan bosan dan sekaligus guru telah
menggalakkan pelajar berfikir dan dapat meningkatkan semangat inkuiri mereka. Brunner
(1960), telah menekankan bahawa pembelajaran merupakan satu proses dimana
pelajar membina idea baru atau konsep berasaskan kepada pengetahuan semasa
mereka. Brooks & Brooks (1993) menyatakan bahawa pelajar membina makna
tentang dunia dan mensintesiskan pengalaman baru kepada apa yang mereka fahami
sebelum ini. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi tentang interaksi mereka
dengan objek dan idea. Sehubungan itu wajarlah pengajaran amali berasas inkuiri
penemuan diketengahkan bagi meningkatkan pemahaman pelajar.
Seiring dengan zaman moden ini, proses
pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar sangat bersifat praktikal.
Pelbagai aktiviti boleh dijalankan di dalam kelas untuk mengelakkan pelajar
hanya menghafal sebelum masuk ke dewan peperiksaan. Oleh itu, kita mampu
melahirkan pelajar yang mampu menyelesaikan masalah harian yang melibatkan
konsep atau kemahiran berkaitan mana-mana subjek.
ISU GURU SEBAGAI KERJAYA TERAKHIR
Bagi sesetengah individu, profession keguruan
sering dianggap sebagai kerjaya pilihan terakhir. Profession perguruan juga
dianggap sebagai profession pertengahan di bawah profession professional yang
lain seperti doktor, jurutera, peguam dan lain-lain. Masyarakat juga menganggap
individu itu boleh menjadi guru sandaran atau guru sementara tanpa ada latihan
asas. Kekosongan jawatan guru sama ada di sekolah rendah mahupun menengah biasanya
diisi oleh guru sandaran yang tidak mendapat latihan formal sama ada di maktab
perguruan ataupun universiti. Situasi ini akan membuatkan pandangan
masyarakatterhadap profession ini akan menjadi lebih pudar lagi apabila
sesetengah pihak yang menganggap individu masih boleh menjadi guru tanpa
mengikuti latihan perguruan di tempat-tempat yang sepatutnya.
Selain itu, masyarakat
melihat kerjaya sebagai guru adalah satu kerjaya yang mudah. Bagi mereka,
seorang guru mempunyai cuti yang banyak sebagaimana pelajar sekolah dan masa
kerja yang pendek. Walhal, beban kerja guru terlalu banyak sehingga membawa ke
bilik tidur. Di era globalisasi ini, cabaran menjadi guru tidak seperti yang
dilihat dengan mata kasar. Cabaran dalam Wawasan 2020 adalah yang perlu ditangani
oleh para pendidik untuk melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berilmu
pengetahuan dan berdaya saing. Tetapi persoalannya disini, mengapakah pandangan
masyarakat terhadap guru dan professionnya telah berubah?
Kesan
Sekiranya profession ini adalah pilihan terakhir bagi guru, minat
utama terhadap kerjaya ini sebenarnya hanya sedikit sahaja. Akibatnya, selepas
dua atau tiga tahun menjadi guru, kebosanan terhadap tugas akan berlaku. Kajian
yang dilakukan oleh Wan Mohd Zahid Nordin terhadap beberapa guru, ‘burn-out’ terhadap guru jelas
menunjukkan faktor bahawa guru yang seringkali menghadapi masalah ini adalah
guru yang kurang berminat sejak dari awal lagi dalam bidang yang diceburi.
Apabila guru-guru mengalami situasi ‘burn-out’,
sudah pastinya mereka akan masuk kelas dan mengajar semata-mata untuk
menghabiskan silibus pengajaran. Ini akan menyebabkan pelajar kurang
bermotivasi semasa belajar dan mereka akan hilang fokus. Seterusnya akan
menyebabkan prestasi akademik mereka menurun. Dalam jangka masa yang panjang,
bukan sahaja pelajar, prestasi sekolah turut merosot. Disebabkan prestasi
pelajar merosot, ibu bapa yang berkemampuan dari aspek kewangan menghantar
anak-anak mereka ke pusat tuisyen.
Langkah
mengatasi
Untuk mengelakkan isu kerjaya guru sebagai pilihan terakhir,
individu sepatutnya tahu arah tuju kerjaya mereka. Selain itu, mereka juga
harus tahu spesifikasi dan bidang tugas yang mereka minati supaya tidak
menyesal di kemudian hari. Sebagai contoh, majoriti wanita yang menjadi
jurutera akan memilih kerjaya sebagai guru. Selepas beberapa tahun bertugas
sebagai jurutera, mereka baru menyedari bahawa tugas sebagai jurutera tidak
sesuai dengan diri mereka dan akhirnya memilih kerjaya sebagai guru.
Sebagai individu yang terpelajar, guru yang
memilih kerjaya ini sebagai pilihan terakhir mereka patut ada rasa
bertanggungjawab. Guru ini dianggap insan terpilih yang didatangkan untuk
membawa ilmu dan kemajuan di sesuatu tempat. Mereka perlu sedar guru bertanggungjawab
mencorakkan masa depan pelajar. Persepsi masyarakat juga perlu diubah. Mereka
membayangkan guru hanya perlu duduk di dalam kelas dan menyampaikan ilmu kepada
pelajar disamping membuat sedikit kerja-kerja perkeranian seperti menaip dan
mengisi borang. Realitinya, beban kerja guru-guru sangat banyak hingga dibawa
ke rumah. Di sekolah pula, guru bukan setakat mengajar tetapi mendidik. Selain
itu, para guru juga terpaksa menghadiri mesyuarat bersama pengurusan.
ISU GURU MENGAJAR SUBJEK YANG BUKAN OPSYEN
Isu guru mengajar subjek bukan opsyen ini
adalah lumrah terutama bagi guru-guru baru. Biarlah apa pun opsyen yang mereka
ambil di universiti atau institusi latihan perguruan, tidak semestinya mereka
akan mengajar subjek opsyen mereka itu di sekolah. Ini adalah suatu realiti
yang berpunca daripada ketidaksepadanan dalam pengagihan guru di sekolah. Ia
juga berpunca daripada keperluan sekolah itu sendiri yang mahukan guru mengikut
kekosongan subjek yang ada. Justeru, disebabkan oleh kurangnya konten mengenai subjek
bukan opsyen yang hendak diajar, guru-guru cenderung untuk menjadi kurang yakin
ketika mengajar. Segala konten mengenai subjek opsyen langsung tidak digunakan
malah guru perlu mempelajari ilmu baru bagi mereka sekiranya diarahkan mengajar
subjek yang betul-betul bertentangan dan tidak berkaitan dengan subjek opsyen
masing-masing.
Kesan
Antara kesan awal yang boleh berlaku akibat
daripada kurangnya keyakinan guru mengajar subjek bukan opsyen ialah guru itu
sendiri kurang bersemangat untuk mengajar. Justeru, pelajar pula menjadi kurang
motivasi kerana mereka tahu guru tersebut tidak mempunyai konten yang cukup
untuk mengajar mereka. Guru pula bersikap acuh tidak acuh dalam melaksanakan
proses P&P. Impak yang paling ketara ialah penurunan prestasi pelajar.
Dalam hal ini, guru akan dipersalahkan kerana gagal mengajar subjek tersebut
dengan baik. Guru pula lepas tangan kerana menganggap subjek tersebut bukanlah
opsyen dan dia tidak mempunyai kepakaran dalam mengajar subjek tersebut. Ini
menyebabkan guru tersebut tidak dapat mencapai tahap profesionalisme. Malah,
kerjaya guru itu pula yang dianggap mudah oleh masyarakat dek kerana guru hanya
masuk kelas dan mengajar tanpa mengambil tahu sama ada pelajar memahami
pembelajaran mereka atau tidak.
Langkah Mengatasi
Terdapat beberapa langkah mengatasi yang boleh
diambil bagi mengekang isu ini daripada berterusan dan memberi impak negatif
kepada pelajar khususnya. Antaranya ialah guru perlu menghadiri kursus. Antara
kursus yang diadakan ialah kursus profisiensi. Kursus ini perlu bagi guru yang
mengajar subjek bahasa Inggeris yang bukan menjadi opsyennya. Selain itu, guru
juga perlu mempunyai keyakinan yang tinggi. Walaupun mengajar subjek yang bukan
opsyen, guru boleh mencari inisiatif sendiri untuk mempelajari dan mendalami
subjek yang hendak diajar itu. Pada zaman era globalisasi ini, ilmu sangat
mudah untuk didapati. Semuanya ada di hujung jari sahaja. Sebagaimana artis di
kaca televisyen boleh menjadi versatil, kenapa tidak guru? Guru boleh mengajar
apa-apa subjek sekiranya guru tersebut mempunyai tekad dan keyakinan yang
tinggi untuk mempelajari dan mengajar. Dan sudah semestinya guru seperti ini
mampu mencapai tahap profesional dalam masa yang singkat. Hendak seribu daya,
tak hendak seribu dalih. Di samping itu, guru juga perlu sentiasa berfikiran
positif. Guru perlu menganggap bahawa mengajar subjek bukan opsyen ini
merupakan cabaran yang perlu ditempuhi dengan sabar dan tabah. Bahkan, ilmu
guru tersebut juga boleh diperkembangkan kepada beberapa bidang baru yang
mungkin asing bagi mereka sebelum ini.
ISU GURU TIDAK BERSEDIA DENGAN PERUBAHAN SISTEM
Seperti yang kita sedia maklum, sistem
pendidikan di Malaysia agak kerap mengalami perubahan dek kerana mengikut
perkembangan zaman dan keperluan semasa. Perubahan ini memberi banyak impak positif terhadap rakyat
keseluruhannya. Mungkin ada beberapa dasar atau sistem yang perubahannya
sedikit sebanyak memberi kesan negatif kerana tidak dirancang dengan baik dan
para guru khasnya tidak cukup bersedia dengan perubahan ini. Contohnya perlaksanaan
PPSMI atau Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa
Inggeris.
Sistem pendidikan yang berubah-ubah ini memerlukan
kesediaan guru yang cukup bagi mempersiapkan diri untuk mengaplikasikan sistem
baru tersebut. Antara sistem yang telah terlaksana ialah PPSMI yang sebelum ini
gagal dilaksanakan dengan baik kerana guru-guru bagi mata pelajaran Sains dan
Matematik belum bersedia untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran
mereka. Para pelajar juga tidak bersedia kerana bahasa Inggeris mereka yang
sememangnya menjadi subjek yang lemah, terutamanya bagi pelajar di luar bandar.
Jika perlaksanaan sistem tidak berjaya kerana guru tidak bersedia, maka guru
sukar untuk mencapai tahap profesionalisme seperti yang diinginkan.
Kesan
Kesan daripada ketidaksediaan guru bagi
mengaplikasi sistem baru, ini menyebabkan proses Pengajaran dan Pembelajaran
(P&P) menjadi kurang berkesan. Apa tidaknya, guru-guru pun kadang kala
kurang memahami apa yang mereka ajar. Apabila ditanya oleh pelajar, mulalah
guru berasa panik dan membiarkan soalan-soalan pelajar tidak terjawab.
Sekiranya P&P kurang berkesan, maka akan adalah pelajar yang kurang faham
pengajaran guru tersebut. Pelajar yang kurang memahami pengajaran guru akan
cepat merasa bosan dan kadang kala ini membawa kepada masalah disiplin pelajar
itu sendiri iaitu ponteng.
Apabila
pelajar kurang faham dan tiada inisiatif untuk memahami pembelajaran mereka
tanpa bantuan guru sekolah, sudah semestinya mereka tidak mampu untuk menjawab
soalan peperiksaan dengan baik. Maka prestasi mereka menurun. Begitulah yang
terjadi kepada para pelajar yang terlibat dalam bahan uji kaji PPSMI. Justeru,
guru tidak akan mampu mencapai tahap profesional. Sudah terbukti apabila guru
tidak cukup bersedia, maka impaknya bukan sekadar pada guru malah turut terkena
kepada pelajar.
Langkah Mengatasi
Antara langkah bagi mengatasi isu kesediaan
guru ini ialah guru perlu sentiasa bersedia. Sebagai seorang guru, mereka
haruslah sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Jangan biarkan perubahan
sistem meragut kredibiliti mereka sebagai guru. Ilmu-ilmu baru boleh dipelajari
setiap hari kerana dunia sekarang merupakan dunia tanpa sempadan. Semuanya
hanya di hujung jari sahaja. Ia cuma memerlukan keinginan dan kerajinan guru
itu sendiri untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi perkara-perkara baru.
Di samping itu, guru juga
perlu berani. Jangan apabila diberitahu tentang perubahan sistem pendidikan
yang baru, terus berasa tidak berani dan kurang yakin untuk
melaksanakannya. Sebagai seorang
pendidik, keyakinan haruslah jitu walau dalam apa jua situasi. Keberanian perlu
ada pada diri guru kerana ia mampu membawa guru itu lebih jauh atau dalam erti
kata lain, menjadikan guru itu profesional dalam profesionnya. Selain itu,
sikap optimis perlu ditanam dalam diri para guru. Sekiranya diberitahu tentang
perubahan sistem, ambil itu sebagai suatu cabaran bukan masalah. Jika guru
mampu berfikiran positif dalam menjalani karier sebagai pendidik, sudah pasti
guru tersebut berupaya menjadi seorang pendidik yang profesional.
ISU DISIPLIN GURU
Apabila dibangkitkan tentang isu disiplin guru,
mungkin ada yang merasakan bahawa ini bukanlah suatu isu yang besar kerana
ianya sudah menjadi perkara biasa bagi sesetengah guru yang merasakan disiplin
bukan penghalang mereka mencapai tahap profesional. Namun apabila difikirkan
semula, disiplin inilah yang menjadi titik tolak perjalanan seorang guru itu
sendiri. Biasanya isu yang sering didengar adalah isu disiplin pelajar, tetapi
apabila dibangkitkan isu mengenai disiplin guru, para guru nampaknya cuba menidakkan
isu ini. Semuanya berbalik kepada diri guru itu sendiri.
Masalah
disiplin dalam kalangan guru yang biasa berlaku di sekolah ialah guru masuk
lewat ke dalam kelas. Perkara ini tidak boleh dianggap enteng kerana ianya
boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran. Bagaimana mungkin guru
boleh mengatasi masalah disiplin sekiranya mereka sendiri tidak mampu menjaga
disiplin sendiri? Itu adalah satu persoalan yang perlu difikirkan secara
mendalam. Selain itu, sesetengah guru yang tidak menjaga etika dan tidak mampu
mengawal emosi cenderung menjadi contoh yang tidak baik kepada para pelajar.
Pernampilan guru itu sendiri sudah memberi impresi pertama kepada orang yang
melihatnya. Guru juga perlu ada kawalan emosi yang baik supaya tidak melepaskan
kemarahan terhadap pelajar sesuka hati.
Kesan
Setiap isu semestinya ada kesan atau akibatnya.
Kesan isu disiplin guru ini boleh dilihat dalam bentuk flow. Yang
pertamanya ialah pelajar terikut-ikut dengan sikap guru. Seperti mana ibu bapa,
guru merupakan role model kepada pelajar kerana guru ialah individu yang
dekat dengan mereka selepas ibu bapa. Sekiranya guru menpunyai masalah
disiplin, pelajar sudah semestinya akan mempunyai masalah yang sama. Ini
disebabkan mereka merupakan remaja yang belajar melalui imitation iaitu
gaya peniruan. Apa yang mereka lihat, itulah yang mereka ikuti.
Kemudian, pelajar akan mula
hilang rasa hormat terhadap guru. Bagaimana mereka hendak hormat kepada guru
sekiranya guru itu sendiri bermasalah? Maka, mulalah guru-guru mengatakan
bahawa pelajar bersikap kurang ajar justeru ibu bapa pula dipersalahkan bulat-bulat
dalam hal ini. Padahal, guru itulah
sendiri menjadi salah satu punca kepada masalah disiplin pelajar. Cuba fikirkan
semula wahai para guru. Gurubagai cermin, apa yang ada pada diri pelajar itu
menunjukkan siapa diri gurunya. Jika guru mahu pelajar mereka menjadi baik,
maka perbaikilah diri sendiri terlebih dahulu. Seterusnya, guru tidak akan
mencapai tahap profesional sekiranya disiplin tidak dijaga. Masyarakat pula
beranggapan bahawa kerjaya guru ini tidak profesional dek kerana sikap guru
yang bermasalah disiplin.
Langkah Mengatasi
Antara langkah mengatasi isu disiplin guru ini
ialah pengambilan guru perlu kaedah tapisan lebih baik, guru sendiri perlu ada
inisiatif untuk memperbaiki diri dan guru perlu jadi contoh yang baik kepada
pelajar. Maksud pengambilan guru perlu kaedah tapisan lebih baik di sini
adalah selain ujian MedSi dan sesi
temuduga, mungkin kaedah baru perlu ada bagi memastikan bahawa guru yang bakal
dilahirkan oleh institusi latihan perguruan di Malaysia ini adalah terdiri daripada kalangan guru yang mempunyai
disiplin yang baik.
Di samping itu, guru yang
sememangnya mempunyai masalah disiplin diri pula perlu berusaha untuk berubah
ke arah yang lebih baik. Dalam hal ini, pengetua perlu memainkan peranan untuk
menasihati guru-guru ini supaya memperbaiki diri masing-masing. Langkah terakhir ialah guru perlu menjadi role model
yang baik kepada pelajar. Bak kata pepatah, ‘guru kencing berdiri, murid
kencing berlari’. Jika guru tidak mampu menjadi contoh teladan yang baik,
mampukah guru tersebut membentuk generasi hadapan yang baik? Jawapan bagi
persoalan ini terletak pada guru itu
sendiri.
Tuesday, 17 April 2012
STANDARD PENGAJARAN PROFESIONAL
Menurut laman sesawang NSW Institute of Teachers (2005), definisi bagi
Standard Pengajaran Profesional ialah satu rujukan utama bagi bidang tugas
seorang guru di mana ia menerangkan tentang apa yang guru boleh lakukan serta
menyediakan hala tuju dan struktur untuk menyokong penyediaan dan pembangunan
guru. Di Malaysia, Standard Guru Malaysia (SGM) dijadikan sebagai panduan oleh
para guru, agensi dan institusi latihan perguruan, pensyarah serta guru besar
dan pengetua sekolah. SGM meliputi standard dan
keperluan di mana kedua-dua aspek ini dilaksana berasaskan Misi
Nasional, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Tatasusila
Profesion Keguruan dan Etika Kerja Kementerian Pelajaran Malaysia bagi
melahirkan guru unggul yang dapat membentuk modal insan kelas pertama. SGM
bertujuan menggariskan kompetensi professional yang patut dicapai oleh guru dan
keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan
bagi mencapai tahap yang ditetapkan. Ia juga bertujuan untuk melestarikan guru
berkualiti.
Walaupun
dengan kewujudan SGM, masih terdapat isu-isu berkaitan Standard Pengajaran
Profesional ini yang meniti di dada-dada akhbar malah dalam kalangan pendidik
sendiri. Ternyata mengaplikasi SGM sahaja tidak cukup untuk menghasilkan guru
yang berkualiti kerana pada diri pendidik itu sendiri masih terdapat perkara
yang menghalang mereka untuk mencapai tahap profesional. Beberapa isu berkaitan
dengan Standard Pengajaran Profesional yang akan dikupas ialah isu disiplin
guru, guru tidak bersedia dengan perubahan sistem, guru mengajar subjek yang
bukan opsyen, guru sebagai kerjaya terakhir, guru masih menggunakan kaedah
tradisional dan lambakan pusat tuisyen gugat peranan guru.
Subscribe to:
Posts (Atom)